Husam : Masalah Parkir Dan Sewa Premis Di Putrajaya Serius





PUTRAJAYA, 19 APRIL : Calon Pas Parlimen Putrajaya, Datuk Husam Musa mendakwa Kerajaan Pusat masih gagal menangani beberapa permasalahan serius dihadapi penduduk Putrajaya seperti masalah parkir, pelbagai kadar cukai dan sewa yang terlalu tinggi.

Menurut Husam, kekurangan parkir bagi kakitangan awam rendah di Putrajaya menjadi semakin serius sehingga memaksa golongan ini menggunakan parkir berbayar atau meletak kenderaan di bahu jalan.

Sehubungan itu, beliau akan mencadangkan kepada Perbadanan Putrajaya supaya memansuhkan sistem parkir berbayar bagi kemudahan meletakkan kenderaan.

“Mereka terpaksa menggunakan parkir berbayar, sedangkan tanah itu adalah tanah Perbadanan Putrajaya dan tidak ada apa-apa kemudahan yang disediakan cuma jalan tar sahaja.

“Saya mencadangkan Perbadanan Putrajaya menghapuskan parkir berbayar itu kerana sebahagian besar yang menggunakan parkir itu adalah staf bawahan,” katanya dalam satu sidang media di Putrajaya di sini hari ini.

Husam juga menerima aduan bahawa kadar sewa yang dikenakan kepada peniaga di kafeteria bangunan kerajaan di Putrajaya terlalu tinggi dan membebankan peniaga dan pekerja bawahan.

“Semalam saya singah di kafeteria Kementerian Sumber Manusia, di situ ada 17 gerai masakan, dan peniaga bersungut kerana mereka terpaksa menyewa kepada orang tengah dan sewanya antara RM1200 hingga RM1500.

“Dan para pelanggan, pekerja bawahan berharap jika sewa dapat diturunkan, harga makanan juga dapat diturunkan.

“Saya harap perkara ini akan dikaji oleh Perbadanan, kenapa tidak samakan dengan bandaraya Kuala Lumpur, kenapa di Putrajaya terlalu tinggi, ini memberikan kesan kepada penduduk,” ujarnya lagi.

Sumber dipetik : Selangorku

You can leave a response.

Leave a Reply

Dari Putrajaya. Powered by Blogger.
Subscribe to RSS Feed Follow me on Twitter!